blue_ribbon_medal_small
Dalam sistem pendidikan Malaysia tumpuan utama banyak di beri ke atas pembangunan akademik pelajar. Pengembangan ilmu pengetahuan mesti mendapat perhatian sewajarnya kerana dalam sistem penilaian kebangsaan terdapat benchmack dan standard kebangsaan.

Walaupun pengembangan ilmu diberi penekanan namun faktor kualiti jarang sekali diperkatakan dan dipraktikkan. Pengurusan sekolah sering mendengar dan memperkatakan tentang masalah kualiti tetapi usaha serta pengamalan kualiti masih samar dan tidak begitu jelas kepada mereka.

Sekolah sebagai institusi pendidikan mempunyai strategi sendiri dalam meningkatkan kualiti dalaman dan luaran mereka. Sekolah mesti dipandang mulia oleh masyarakat luar dan ibu bapa kerana dengan sistem pendidikan yang berkesan mampu melahirkan seorang pelajar yang berkualiti dan berketrampilan.

Sebagai contoh, banyak usaha-usaha telah dibuat untuk meningkatkan kualiti sesebuah sekolah. Konsep Sekolah Berkualiti, Total Quality Management (TQM), The Good High School, pergerakan Pembaikan Sekolah (School Improvement Movement) dan pergerakan Sekolah Efektif telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pendidikan. Pada tahun 80-an pula, sektor awam pula telah memperkenalkan konsep Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK).

Pihak kerajaan juga telah memutuskan supaya agensi-agensi kerajaan mengamalkan satu sistem pengurusan kualiti yang unversal dan berlandaskan kepada standard yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Unit Kemajuan Tadbiran Awam Malaysia (MAMPU) telah mengeluarkan garis panduan kepada agensi-agensi kerajaan untuk melaksanakan sistem kualiti yang baru diperkenalkan.

Pengenalan itu adalah untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sektor awam. Sistem kualiti tersebut menekankan prinsip-prinsip dan ciri-ciri seperti berikut:

1. Pencegahan dan bukan mengatasi masalah setelah ia berlaku
2. Kajian semula yang berterusan ke atas proses-proses yang kritikal dan membuat tindakan pembetulan
3. Mewujudkan cara bekerja yang konsisten dan menepati prinsip-prinsip betul pertama kali dan setiap kali
4. Semua kerja adalah berasaskan kepada dasar dan prosedur yang didokumenkan, dan
5. Mementingkan penyimpanan rekod kualiti untuk membuktikan tindakan yang telah dilaksanakan

Berdasarkan kenyatan tersebut, sekiranya setiap agensi kerajaan dan sekolah melaksanakan sistem kualiti maka akan wujud kualiti menyeluruh yang menggabungkan pembangunan individu, pembangunan ilmu, dan pembangunan organisasi yang dijamin dan dimantapkan dalam satu sistem yang difahami oleh semua warga sekolah dan masyarakat.

DEFINISI KUALITI

Kualiti adalah keseluruhan ciri-ciri dan sifat-sifat sesuatu produk atau perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak yang dinyatakan atau yang tersirat. Antara contoh ciri-ciri kualiti bagi produk ialah, mudah diperoleh, tahan lama, bersih, selamat, boleh diuji, boleh dikesan dan mudah diangkut.

Contoh ciri-ciri kualiti bagi sesuatu perkhidmatan adalah seperti keselesaan, kesopanan, kecekapan, keberkesanan, jujur, kebolehpercayaan, cepat, responsif dan keselamatan (Hairuddin Mohd Ali etc. al, 1999).

KEPERLUAN KUALITI

Sistem kualiti

Adalah struktur organisasi, tanggungjawab, prosedur, proses dan sumber bagi melaksanakan pengurusan kualiti

Kawalan kualiti ( Quality Control )

Adalah teknik dan aktiviti operasi yang digunakan untuk memenuhi kehendak dan keperluan kualiti

Kepastian kualiti ( Quality Assurance )

Adalah tindakan yang terancang dan tersususn yang perlu dilaksanakan bagi memberikan keyakinan yang mencukupi bahawa produk atau perkhidmatan akan memenuhi keperluan kualiti yang dinyatakan

Output

Output atau produk yang dihasilkan oleh sesuatu aktiviti atau proses di mana ia meliputi perkhidmatan, perkakasan (hardware), bahan-bahan yang telah diproses, perisian (software) atau kombinasi perkara-perkara tersebut.

Pelanggan

Adalah pihak yang menerima produk atau perkhidmatan

ELEMEN-ELEMEN KUALITI

Elemen-elemen kualiti seperti mana di gariskan oleh SIRIM adalah seperti berikut:

1. Tanggungjawab pengurusan
2. Sistem kualiti
3. Semakan kontrak
4. Kawalan reka bentuk
5. Kawalan dokumen dan data
6. Perolehan
7. Kawalan produk yang dibekalkan oleh pelanggan
8. Idenfikasi dan kemudah-kesanan produk
9. Kawalan proses
10. Pemeriksaan dan pengujian
11. Kawalan peralatan pemeriksaan, pengukuran dan pengujian
12. Status pemeriksaan dan pengujian
13. Kawalan produk yang tidak memenuhi keperluan yang ditetapkan
14. Tindakan pembetulan pencegahan
15. Pengendalian, penyimpanan, pembungkusan, pemeliharaan dan penghantaran
16. Kawalan rekod-rekod kualiti
17. Audit kualiti dalaman
18. Latihan
19. Khidmat susulan
20. Teknik-teknik statistik

DOKUMENTASI KUALITI

Dokumenstasi sistem kualiti terdiri daripada Dasar kualiti, Proses, Prosedur, Tanggungjawab dan Kuasa serta struktur bagi menguruskan proses-proses berkenaan. Dokumen pula terdiri daripada prosedur, dasar atau arahan bertulis yang dikeluarkan oleh sesebuah organisasi. Ia menyediakan panduan, penerangan dan arahan tentang bagaimana hendak melaksanakan tugas dalam organisasi.

Terdapat empat (4) peringkat dalam penyediaan dokumen, iaitu,

1. Peringkat pertama ( Manual kualiti )

Menerangkan dasar dan objektif kualiti dan sistem kualiti mengikut model yang dipilih dan dasar mengenainya

2. Peringkat kedua ( Prosedur )

Menerangkan proses-proses yang dijalankan bagi pelaksanaan sistem kualiti

3. Peringkat ketiga ( Arahan kerja )

Menerangkan bagaimana sesuatu tugas dijalankan

4. Peringkat keempat ( Dokumen sokongan )

Terdiri daripada borang dan pekeliling pentadbiran

KAEDAH MENUBUH DAN MELAKSANAKAN SISTEM KUALITI

Langkah-langkah yang terlibat adalah seperti berikut:

Langkah pertama

1. Pihak pengurusan atasan mesti memahami konsep, keperluan dan kepentingan pelaksanaan sistem kualiti di sesebuah organisasi atau sekolah
2. Pihak pengurusan atasan juga perlu menggubal dasar dan objektif kualiti yang ingin dicapai dan mengagihkan sumber-sumber yang perlu
3. Pihak pengurusan atasan juga perlu melantik wakil pengurusan yang bertanggungjawab bagi menyelaras dan mengesan pelaksanaan sistem kualiti

Langkah kedua

Tidak perlu melantik jawatankuasa baru. Jawatankuasa pelaksana kualiti yang sedia ada sudah memadai untuk melaksanakan tugas baru ini.

Langkah ketiga

Memberi latihan kepada pegawai terlibat. Jenis latihan merangkumi pengenalan kepada kualiti, memahami elemen-elemen kualiti, dokumentasi sistem kualiti dan audit dalaman.

Langkah keempat

1. Tentukan proses utama organisasi (core business)
2. Tentukan model kepastian kualiti yand sesuai berdasarkan proses utama organisasi
3. Menilai sistem yang sedia ada dengan cara membandingkan dengan keperluan dalam model kepastian kualiti yang dipilih.

Langkah kelima

Pelan pelaksanaan dibuat berdasarkan kepada hasil penilaian ke atas sistem masa kini. Pelan ini hendaklah meliputi perkara berikut:

1. Objektif sistem kualiti
2. Model kepastian kualiti yang dipilih
3. Bidang-bidang tugas dan tanggungjawab
4. Tentukan jumlah prosedur kualiti yang perlu diwujudkan
5. Jangkamasa pelaksanaan

Pelan pelaksanaan hendaklah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemandu Kualiti sekolah untuk semakan dan kelulusan.

Langkah keenam

Untuk melaksanakan sistem kualiti, organisasi hendaklah:

1. Mendokumenkan sistem kualiti
2. Memastikan sistem kualiti dilaksanakan seperti yang telah didokumenkan

Selepas dokumen-dokumen kualiti yang perlu telah disediakan, organisasi hendaklah memastikan sistem yang didokumenkan ini beroperasi dengan berkesan.

Langkah ketujuh

Sistem kualiti yang telah dilaksanakan sepenuhnya hendaklah diaudit oleh:

1. Audit kualiti pihak pertama (audit kualiti dalaman)

• Hanya selepas sistem kualiti dilaksanakan sekurang-kurangnya selama enam bulan
• Pengauditan ini dilakukan oleh pihak sekolah sendiri untuk melihat keberkesanan sistem kualiti yang dilaksanakan

2. Audit kualiti pihak kedua

• Merupakan audit pematuhan ke atas pelaksanaan sistem kualiti yang akan dijalankan oleh MAMPU
• Agensi yang berjaya akan dianugerahkan sijil

3. Audit kualiti pihak ketiga

• Dijalankan oleh MAMPU dengan kerjasama SIRIM
• Dijalankan oleh pihak SIRIM atau pihak lain
• Dijalankan oleh pihak lain yang bertauliah mengeluarkan sijil

KESIMPULAN

Walaupun kualiti memainkan peranan penting dalam sesuatu organisasi atau institusi pendidikan namun ianya masih tidak mendapat komitmen yang tinggi daripada semua staf atau kakitangan itu sendiri. Masalah ini timbul beikutan kurangnya kefahaman tentang kualiti oleh sebahagian besar staf atau kakitangan dalam sesebuah organisasi.

Perkara ini menjadi lebih ketara dalam dunia pendidikan kerana pendidikan bersifat intangible iaitu tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Produk atau keluaran pendidikan bersifat perkhidmatan berbanding produk-produk lain yang boleh dirasai, dilihat dan dicuba akan kualitinya. Di samping itu, pendidikan kualiti melibatkan kos yang tinggi kerana setiap kakitangan perlu diberi pendedahan dan kefahaman tentang kualiti. Latihan yang hendak diberi kepada setiap staf mestilah menyeluruh, memakan masa dan secara tidak langsung melibatkan pertambahan kos dalam latihan kualiti.

Contoh pelaksanaan sistem kualiti pemeriksaan dan ujian di sekolah

Am

Nyatakan bahawa sekolah anda akan mewujudkan dan menyelenggara prosedur yang didokumenkan bagi aktiviti pemeriksaan dan ujian bagi menentukan perkhidmatan atau produk memenuhi spesifikasi yang ditetapkan

Pemeriksaan dan ujian ke atas produk atau perkhidmatan yang diterima

Nyatakan bahawa semua produk atau perkhidmatan yang diterima tidak akan digunakan atau diproses (kecuali dalam keadaan tertentu) tanpa pemeriksaan atau disahkan sebagai memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Nyatakan juga bahawa (jika perlu di sekolah anda) produk atau perkhidmatan yang dilepaskan untuk kegunaan sebelum pemeriksaan dan nujian, akan dikenal pasti dan direkod untuk memudahkan panggilan semula dan penggantian kemudahan sekiranya perlu.

Rekod pemeriksaan dan ujian

Nyatakan bahawa sekolah anda akan mewujudkan dan menyelenggara rekod mengenai pemeriksaan dan ujian yang dijalankan

Pemeriksaan dan ujian semasa proses

Nyatakan secara ringkas bagaimana sekolah anda akan memeriksa dan menguji sesuatu produk atau perkhidmatan yang dihasilkan (sama aada melalui penggunaan pelan kualiti atau prosedur-prosedur yang didokumenkan). Nyatakan bahawa sesuatu produk atau perkhidmatan tidak akan diluluskan untuk dikeluarkan tanpa pemeriksaan dan ujian kecuali dalam keadaan tertentu

Pemeriksaan dan ujian terakhir

Nyatakan bahawa sekolah anda akan menjalankan pemeriksaan dan ujian terakhir untuk menentukan produk atau perkhidmatan yang dihasilkan memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan sebelum ia diluluskan untuk kegunaan pelanggan

Dokumen berkaitan

Maklumat terperinci mengenai cara-cara yang akan digunakan adalah dijelaskan dalam prosedur kualiti. Nyatakan prosedur yang berkaitan. Contoh, prosedur PK-SMK Bandar Baru Sultan Suleiman-01  yang berkaitan dengan pemeriksaan dan ujian.

  • Share/Save/Bookmark