cimg1380
Pencerapan kelas diertikan sebagai melihat dan memerhati secara teliti terhadap perkara yang dilihat ( Dr. Ibrahim Bafadal, 1992). Pencerapan kelas adalah teknik yang digunakan oleh supervisor terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung.

Tujuannya adalah untuk memperoleh maklumat data seobjektif mungkin mengenai aspek-aspek dalam situasi pengajaran dan pembelajaran, dan masalah-masalah yang dihadapi guru dalam usaha memperbaiki proses pengajaran dan pembelajaran.

Secara umum. Aspek-aspek yang diamati dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah

1. Usaha-usaha dan aktiviti guru-pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran
2. Cara penggunaan alat bantu mengajar
3. Reaksi pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran
4. Keadaan alat bantu mengajar yang digunakan

Dalam pelaksanaan pencerapan kelas, ianya melalui beberapa tahap peringkat, iaitu,

1. Persiapan pencerapan kelas
2. Pelaksanaan pencerapan kelas
3. Penutupan pelaksanaan pencerapan kelas
4. Penilaian hasil pencerapan
5. Tindakan lanjut

PERSEDIAAN SEBELUM PENCERAPAN

Persiapan yang biasa dilakukan oleh penyelia sebelum pencerapan kelas ialah,

1. Menetapkan tarikh, masa dan kelas yang akan dicerap
2. Menetapkan tujuan pencerapan
3. Menetapkan aspek-aspek yang akan dicerap, sama ada proses atau hasil pengajaran dan pembelajaran
4. Memilih pendekatan dan teknik yang akan digunakan untuk mengukur proses pengajaran dan pembelajaran
5. Menyusun instrumen pengukuran

PENCERAPAN KUANTITATIF, KUALITATIF DAN ANALISA DATA

Menurut Glickman (1998) terdapat dua cara pencerapan iaitu kuantitatif dan kualitatif. Pencerapan kuantitatif adalah kaedah mengukur perilaku , gelagat dan objek dalam kelas. Kategori klasifikasi perlu dikenal pasti terlebih dahulu dan boleh dianalisis berdasarkan statistik yang dikumpul.

PENCERAPAN KUANTITATIF

Instrumen-instrumen kuantitatif terdiri daripada,

Categorical Frequency Instrument

Categorical Frequency Instrument adalah satu kaedah yang digunakan untuk mengenal pasti perilaku dan gelagat yang boleh dikira. Keadaan yang berlaku dalam kelas boleh dikira dari pelbagai aspek dan keadaan. Sebagai contoh, perilaku guru dalam kelas boleh dibahagikan kepada lisan dan bukan lisan. Perilaku lisan boleh dipecahkan kepada maklumat yang diberikan oleh guru, pertanyaan guru, jawapan, pujian dan arahan yang diberi.

Di samping itu, ianya juga boleh mengukur kekerapan pertanyaan guru berdasarkan beberapa tahap jenis soalan. Soalan boleh dipecahkan kepada tujuh kategori sebagaimana Taksonomi Bloom. Supervisor boleh mengira jumlah dan peratus soalan mengikut jenis-jenis soalan dikategorikan.

Perilaku setiap pelajar dalam kelas juga boleh diukur. Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran selama 40 minit, 8 sela perilaku pelajar boleh dilihat. Gelagat setiap pelajar dilihat setiap 5 minit berdasarkan sela yang telah ditetapkan. Dengan kaedah ini, supervisor boleh melihat secara spesifik setiap perilaku task (pelajar) yang ada dalam satu kelas.

Performance Indicator Instruments

Performance indicator instruments merekod sama ada tindakan yang tersenarai dalam borang pencerapan direkod ataupun tidak. Dalam borang pencerapan juga terdapat ruangan not applicable (NA). Terdapat juga ruangan catatan/komen yang membolehkan penyelia mencatat perkara-perkara penting.

Visual Diagraming

Visual diagraming adalah satu kaedah lain yang boleh digunakan untuk menggambarkan apa yang berlaku di dalam kelas. Videotaping adalah salah satu cara yang digunakan untuk menunjukkan apa sebenarnya yang telah berlaku dalam satu kelas.

Cara lain seperti interaksi lisan antara guru dengan pelajar serta bagaimana guru menggunakan ruang kelas dalam sesi pengajaran dan pembelajaran mereka. Supervisor akan melakarkan interaksi berkenaan dan boleh melihatnya dan menganalisis kejadian yang berlaku.

PENCERAPAN KUALITATIF

Pencerapan kualitatif boleh dibahagikan kepada,

1. Detached open-ended narrative
2. Participant observation
3. Focused questionnaire observation
4. Educational criticism

Detached open-ended narrative

Kaedah ini dibuat oleh seorang supervisor yang merekod setiap orang, kejadian dan perkara yang menarik minat dan perhatian beliau apabila memasuki sesuatu kelas.

Contoh
Pelajar memasuki kelas pada pukul 10:13 am. Guru sedang memeriksa kertas peperiksaan. Loceng berbunyi pada pukul 10:15 am menandakan masa ketiga bermula. Pada masa yang sama, pelajar meletakkan beg masing-masing dan menunggu arahan guru kecuali tiga orang pelajar perempuan yang duduk di bahagian belakang sedang bercakap, menyikat rambut dan melemparkan beberapa buah buku di atas meja. Guru mengarahkan pelajar berkenaan supaya senyap dan berhenti menyikat rambut mereka. Kelas berjalan seperti biasa sehingga loceng berbunyi pada pukul 10.45 am.

Participant open-ended observation

Kaedah ini berlaku apabila supervisor menjadi sebahagian daripada fungsi kelas ( Spradley 1980). Beliau membantu dalam memberi arahan, membantu pelajar menjawab soalan, menggunakan bahan-bahan dalam kelas, dan bercakap dengan guru dan juga pelajar.

Kaedah ini tidak membenarkan supervisor mencatat kejadian yang berlaku ketika beliau bercakap, bergerak dan juga membantu pelajar. Beliau hanya boleh mencatat ketika berhenti sebentar. Borang pencerapan juga di bawa untuk mencatat perkara-perkara penting yang berlaku semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Lakaran kasar boleh dibuat dan selepas itu tulisan terperinci dilakukan sepenuhnya. Nota ini akan mengingatkan beliau perkara-perkara penting yang berlaku dan membantu selepas sesi pencerapan.

Contoh
Guru Y membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan kajian kes.

Ali tidak faham tentang kajian kes. Saya membantu beliau memahami kes tersebut.

Aminah dan Timah melihat sekeliling. Saya bertanya beliau jika mereka memerlukan bantuan. Mereka mengatakan tidak perlu dan terus meninggalkan kelas dengan kebenaran guru.

Abu tidak berbuat apa-apa. Beliau membaca majalah Remaja. Ahli kumpulan lain meninggalkan beliau.

Guru menamatkan kelas. Kedengaran seorang pelajar bersuara, “ Kelas ini berakhir begitu cepat. Saya harap kelas lain lebih menyeronokkan”.

Focused questionnaire observation

Kaedah ini memfokuskan kepada beberapa perkara atau topik untuk merekod kejadian yang berlaku dalam kelas. Soalan-soalan spesifik digunakan untuk mengumpul maklumat. Beberapa model pengajaran dan pembelajaran boleh digunakan untuk memfokuskan soalan tersebut. Contoh, model oleh Rosenshine, 1986 dan juga oleh Marzano et. al, 1988.

Educational criticism

Elliot Eisner (1985) mengatakan kaedah ini mencantumkan antara kaedah detached dan participant observation dengan penerangan dan interpretasinya. Kaedahnya sama dengan prosedur kritikan.

Eisner mengatakan seseorang pakar pendidikan seharusnya mengetahui keseluruhan kualiti kelas berdasarkan kepada pemerhatian ke atas perkara-perkara tertentu di dalam kelas. Kritikan boleh dibuat ke atas perkara-perkara yang berlaku di dalam kelas, persekitaran kelas dan juga interaksi antara guru dan pelajar.

Menurut Dr. Ibrahim Bafadal (1992) pula, tujuan utama pengumpulan data untuk memperoleh maklumat yang akan digunakan sebagai asas perbincangan dengan guru selepas pencerapan dilakukan. Data-data akan dianalisis secara terperinci terhadap aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan dalam kelas. Teknik dan instrumen pencerapan amat penting kerana ianya akan digunakan dalam pencerapan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Acheson dan Gall (1987) telah memperkenalkan beberapa teknik dan instrumen dalam membuat pencerapan guru, iaitu,

Selective verbatim

Dengan kaedah ini, supervisor membuat rakaman bertulis yang disebut sebagai a verbatim transcript. Tidak semua kejadian verbal akan dirakam. Hanya kejadian-kejadian tertentu sahaja yang akan dirakam secara selektif berdasarkan pertemuan awal dengan guru. Transkrip akan ditulis secara langsung berdasarkan pengamatan atau dirakam terlebih dahulu melalui tape recorder

A seating chart

Supervisor akan mendokumentasikan perilaku-perilaku pelajar sebagaimana mereka berinteraksi dengan guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Semua perilaku dan interaksi dideskripsikan secara bergambar. Melalui kaedah ini, supervisor boleh mendokumentasikan secara grafik interaksi guru dengan pelajar, pelajar dengan pelajar. Kaedah ini juga boleh menjelaskan bagaimana guru hanya berinteraksi dengan sebahagian pelajar, semua pelajar atau hanya sebahagian pelajar yang terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Wide-lens techniques

Dengan kaedah ini, supervisor membuat catatan yang lengkap mengenai kejadian-kejadian di kelas dengan cerita yang panjang lebar. Teknik ini juga disebut sebagai anecdotal record

Checklists and timeline coding

Supervisor mencerap dan mengumpul data perilaku pengajaran dan pembelajaran. Perilaku pengajaran dan pembelajaran telah diklasifikasikan dan dikategorikan sebelumnya. Contoh, analisis interaksi Flanders (Flanders 1970). Dalam analisis ini, aktiviti kelas diklasifikasikan menjadi tiga kategori besar, iaitu, perbicaraan guru, perbicaraan pelajar dan tidak ada perbicaraan (silence).

INTERAKSI DAN PERBINCANGAN SELEPAS PENCERAPAN

Selepas pencerapan, kebiasaannya satu sesi perbincangan akan dibuat antara penyelia dan juga guru. Proses ini berlaku sebaik sahaja sesi pencerapan itu berlaku. Tujuan utama perbincangan adalah untuk mempertingkatkan dan memperkembangkan lagi kemampuan guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran beliau.

Berbagai kaedah dan instrumen akan digunakan dalam menilai pencapaian guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Contoh-contohnya telahpun diperjelaskan seperti kaedah detached dan participant observation. Instrumen-intrumen akan digunakan sebagai asas dalam penilaian pencapaian guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Komen-komen akan diberikan kepada kelemahan-kelemahan guru dan diharap dapat di atasi oleh guru pada masa-masa akan datang. Segala perilaku guru dan pelajar yang tercatat juga turut di perbincangkan antara penyelia dan juga guru.

Pengaruh guru dalam kelas amat penting kerana di atas tangannyalah terletak kejayaan atau kegagalan perjalanan sesuatu kelas. Guru yang mampu mengelola kelas dengan baik akan menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Seterusnya akan menghasilkan perilaku dan prestasi pelajar yang semakin baik.

Melalui interaksi penyelia dan guru juga dapat diketahui segala kelemahan dan faktor-faktor yang terlibat yang dapat digunakan untuk diperbaiki oleh guru pada masa lain. Gwynn (1961) mengatakan perbincangan dan penilaian pencerapan hanya dapat dilakukan oleh penyelia dengan tepat terhadap guru dan orang bawah kawalannya. Di antara persoalan-persoalan yang akan ditimbulkan dalam proses pencerapan ialah,

1. Adakah program pencerapan mengembangkan pengajaran dan pembelajaran anda?
2. Apakah pencerapan boleh meningkatkan kesedaran anda tentang kelebihan dan kelemahan pengajran dan
pembelajaran anda?
3. Adakah ianya meningkatkan kesedaran tentang penelitian anda dalam proses P&P?
4. Apakah pencerapan telah menyebabkan anda mencuba satu atau lebih teknik mengajar yang baru?
5. Apakah ianya meningkatkan gaya pengajaran dan masalah setiap pelajar?
6. Apakah pencerapan mendorong anda untuk melakukan perubahan gaya pengajaran anda?
7. Apakah sesi pencerapan dan perbincangan dengan penyelia membei manfaat kepada anda?
8. Apakah komen dan idea yang telah diberikan oleh penyelia?
9. Menurut pendapat anda, adakah program pencerapan di sekolah anda efektif?

KESIMPULAN

Pencerapan merupakan satu proses penting dalam kerja-kerja penyeliaan sekolah. Melalui pencerapan, pencapaian guru dapat diukur dan ianya merupakan salah satu faktor penting dalam penilaian pencapaian dan perkembangan guru terutama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Pencerapan juga mampu meningkatkan kualiti guru dalam merencana, melaksana dan menilai proses pengajaran dan pembelajaran.
http://www.sifoosidee.blogspot.com

  • Share/Save/Bookmark