Dewasa ini, pembelajaran maya telah menjadi semakin popular. Ini selaras dengan arus pembangunan industri teknologi maklumat yang semakin berkembang. Agenda IT Kebangsaan (National IT Agenda, NITA) yang telah dilancarkan pada tahun 1996 menggariskan beberapa panduan bagaimana Malaysia boleh muncul sebagai sebuah negara maju. Salah satu agenda awal adalah mewujudkan pendidikan maya. Pendidikan ini telah diperluas dengan pengenalan konsep pembelajaran Sekolah Bestari, E-learning, Universiti terbuka dan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH). Pendidikan maya telah dikenal pasti mempunyai banyak kepentingan pada masa hadapan.

Pada zaman ledakan teknologi maklumat dan komunikasi, setiap individu semakin bersaing untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kerjaya masing-masing. Nabi Muhammad s.a.w bersabda “Tuntutlah ilmu walau di negara China sekalipun”. Walau sukar sekalipun, seseorang itu digalakkan mencari ilmu. Ilmu mampu meningkatkan martabat seseorang. Pada masa kini, ilmu mudah diperoleh melalui ruang siber. Ilmu dunia tanpa sempadan memberi banyak kelebihan kepada kita. Seseorang itu boleh menjelajah ilmu pengetahuan ke seluruh pelosok negara melalui pendidikan maya atau virtual.

Gary Dessler (2002) mengatakan sumber manusia adalah sebahagian daripada tanggungjawab pengurus organisasi. Tugas organisasi adalah meletakkan pekerja yang sesuai di tempat sesuai dan mengorientasi, melatih dan mengganjari untuk meningkatkan prestasi pekerja. Penggunaan sumber manusia yang cekap dan berkesan memastikan kejayaan sebuah organisasi. Oleh itu setiap perkerja perlu diberi ruang dan peluang untuk meningkatkan kerjaya mereka. Kaedah yang sesuai digunakan ialah dengan menggalakkan pekerja untuk belajar melalui pendidikan maya. Pendidikan maya tidak mengikat pekerja untuk menghadiri kelas secara formal. Mereka boleh mencapai maklumat pada bila-bila masa tanpa terikat dengan waktu kerja.

Hassan Jantan (2005) juga ada mengatakan salah satu cara meningkatkan kecemerlangan pekerja adalah memberikan pemahaman dan penghayatan kepada mereka tentang konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH). Pembelajaran Sepanjang Hayat merujuk kepada proses pendemokrasian pendidikan yang merangkumi program meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi secara formal atau tidak formal di tempat kerja. Pendidikan maya memberi banyak kelebihan kepada mereka. Pembelajaran di tempat kerja menjadi lebih bermakna jika pekerja menetapkan dan mengetahui masalah dan objektif kerja sendiri.

Merekalah yang mengetahui apa yang diperlukan dan dipelajari bagi meningkatkan prestasi sesebuah organisasi. Pekerja perlu mengkaji kekuatan dan kelemahan bagi pembangunan kendiri. Kekuatan perlu ditingkatkan dan kelemahan mesti diatasi. Pendidikan maya akan memberi banyak manfaat kepada mereka untuk menghasilkan sesuatu yang membanggakan. Maklumat-maklumat yang diperoleh sentiasa terkini dan boleh diaplikasikan dalam sistem organisasi mereka. Di samping itu, potensi yang ada pada setiap pekerja dapat digunakan untuk pembangunan organisasi.

Seterusnya, pendidikan maya dikenal pasti dapat meningkatkan kemahiran seseorang dalam bidang ICT. Kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi telah menjadi satu kemestian pada masa hadapan. Setiap individu perlu menguasai ilmu tersebut kerana ianya telah menjadi salah satu agenda utama negara. Kerajaan telah memberi penekanan dalam bidang tersebut dengan memperkenalkan penggunaan ICT dalam sistem pendidikan negara.

Guru dan pelajar telah didedahkan dengan lebih awal dalam bidang ICT. Merekalah yang akan memastikan kejayaan sistem tersebut. Jatuh bangun sebuah negara banyak bergantung kepada mereka. Ucap utama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sambutan Hari Pekerja 2005 menyebut setiap pekerja hendaklah memiliki kemahiran, kebolehan dan kecenderungan untuk berdaya saing di peringkat global. Mereka perlu mempunyai keperibadian luhur dan berusaha menghadapi persekitaran dunia tanpa sempadan yang semakin mencabar dan berdaya saing. Setiap belia perlu menguasai kemahiran ICT bagi bersaing pada masa hadapan.

Melihat kepada kepentingan berkenaan, Kementerian Pelajaran telah mewujudkan konsep Sekolah Bestari. Sekolah ini telah dibincangkan sejak tahun 1996 dan pada tahun 1988 Kementerian Pelajaran telah memilih empat subjek untuk dibestarikan. Subjek tersebut ialah Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Sebanyak 88 buah sekolah telah dipilih untuk mempelopori Sekolah Bestari ini. 8 orang guru pula telah dipilih daripada sekolah tersebut untuk merintis konsep Sekolah Bestari. Segala kemahiran yang diperoleh akan diaplikasikan di sekolah. Konsep Sekolah Bestari ini meletakkan ICT sebagai alat pemboleh (enabler) dalam pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran dan pembelajaran Sekolah Bestari menekankan kaedah pendidikan maya. Guru dan pelajar bebas mencapai maklumat melalui kemudahan internet yang disediakan. Ini disokong lagi dengan kemudahan streamyx dan teknologi wireless yang baru diperkenalkan.

Kajian yang dibuat oleh Universiti Malaya (2004) mendapati pelajar amat meminati kelas yang dikendalikan dengan komputer. Mereka didapati sanggup meluangkan masa lebih lama sekiranya pengajaran dikendalikan dengan komputer. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan penguasaan dan kemahiran pelajar dalam penggunaan ICT.

Pengenalan ICT dalam sistem pendidikan maya secara tidak langsung meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris. Ini selaras dengan dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah Malaysia. Dasar tersebut mensasarkan pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana ilmu dunia banyak diperoleh dalam bahasa Inggeris.

Pendedahan penggunaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah lagi boleh memberi banyak faedah kepada mereka. Pendidikan maya telah menyuntik semangat baru kepada pelajar untuk mendalami bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan maya mampu mengayakan perbendaharaan dan kosa kata bahasa Inggeris pelajar. Seterusnya meningkatkan kemahiran dan penguasaan mereka dalam bahasa tersebut.

Pelajar yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik dapat bersaing di peringkat antarabangsa. Mereka juga akan menjadi pilihan utama majikan untuk mengambil mereka bekerja. Menteri sumber manusia, Yang Berhormat Datuk Fong Chan Onn juga ada mengatakan salah satu sebab kegagalan siswazah mendapat kerja adalah kerana kurang menguasai bahasa Inggeris. Pelajar perlu meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris bagi menambat hati majikan.

Pendidikan maya juga menggalakkan individu belajar melalui konsep pembelajaran terarah kendiri. Kaedah pembelajaran ini memerlukan seseorang menentukan sendiri tajuk dalam sesuatu bidang yang ingin dipelajarinya. Dr. Mohd Arif Ismail (2005) mengatakan kaedah pembelajaran ini melibatkan empat domain pembelajaran iaitu self-directed, self-access, self-assessed dan self-paced.

Pembelajaran ini memberi kelebihan kepada pelajar untuk memantau pencapaian sendiri dalam sesuatu bidang. Pendidikan berbentuk kendiri boleh meningkatkan pengalaman pelajar. Isi pelajaran tidak boleh tertutup dan disekat. Pendekatan pendidikan bertumpukan mata pelajaran dikatakan tidak mampu memotivasikan pelajar kerana minat, keperluan dan kesediaan mereka adalah berbeza.

Pendidikan maya yang menggunakan medium internet sebagai pengantara didapati lebih mesra pengguna. Ia dapat diintergrasikan dengan penggunaan grafik, teks dan kemudahan audio visual kepada pengguna. Penggunaan perisian grafik dalam pendidikan maya boleh menarik minat pelajar. Kajian yang dibuat oleh Rio Sunarji Sharifuddin (1997) mendapati pembelajaran menggunakan kaedah perayauan (exploratory) dan penemuan (enkuiri) lebih berjaya berbanding kaedah tradisional. Pelajar lebih menyukai jika mereka diberi kebebasan dalam pencarian maklumat pembelajaran. Konsep ilmu melalui kaedah penerokaan perlu ditingkatkan.

Pendidikan cara ini boleh dicapai jika tenaga pengajar membuat penilaian terlebih dahulu terhadap kehendak kurikulum yang ada. Pengajar perlu membimbing pelajar dengan menyenaraikan alamat-alamat laman web bagi penjimatan masa pengajaran dan pembelajaran.

Kaedah penyalinan dan penampalan ( copy and paste ) maklumat boleh dijadikan bahan bantu mengajar jika kemudahan komputer terhad. Penggunaan kaedah ini juga memberi kebaikan kepada tenaga pengajar jika mereka terpaksa bercuti atau berkursus. Tugasan tertentu juga boleh diberikan kepada pelajar berdasarkan kepada laman web yang sesuai.

Pendidikan maya juga boleh mengembangkan daya kreativiti seseorang. Individu yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang komputer boleh mencipta perisian, CD-ROM dan laman web sendiri. Inovasi baru dalam penciptaan perisian, CD-ROM dan laman memberi banyak kebaikan kepada seseorang.

Pada masa kini, terdapat banyak pakar dalam bidang pembangunan perisian, pengaturcaraan komputer, perkakasan komputer dan sebagainya. Ini dapat dilihat dengan wujudnya banyak perisian, CD-ROM dan laman web baru . Perkembangan tersebut dilihat seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Pada setiap saat sahaja, banyak perisian baru telah dicipta. Peluang yang ada perlu direbut kerana boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan kepada seseorang.

Usahawan dalam bidang pendidikan perlu mengambil peluang yang ada bagi meluaskan empayar perniagaan mereka. Pendidikan maya yang bersifat global boleh dijadikan landasan kepada mereka untuk meningkatkan bilangan pelanggan di seluruh negara. Penghasilan bahan multimedia, portal pendidikan dan pendidikan jarak jauh dikenal pasti dapat memberi pulangan lumayan. Mereka boleh menggunakan kreativiti sendiri untuk membina bahan multimedia sendiri. Penjualan produk berasaskan komputer mempunyai potensi yang baik untuk dimajukan.

Pembinaan portal pendidikan boleh dijadikan medium menambah kefahaman dan persediaan sebelum proses pengajaran dan pembelajaran. Ia menyediakan berbagai-bagai maklumat dan pautan untuk tenaga pengajar, pelajar dan ibu bapa. Ini termasuk mendapatkan nota, rancangan pengajaran, soalan-soalan peperiksaan, latihan pengukuhan dan forum perbincangan.

Portal pendidikan juga mengelakkan pelajar menjadi bosan kerana ianya mempunyai pelbagai ruangan yang boleh dicapai. Di samping itu, unsur-unsur kecindan diselitkan juga. Ia menjadi lebih bermakna jika dapat dicapai secara kendiri untuk latihan pengukuhan, pengayaan selepas mempelajari sesuatu topik.

Sebuah negara maju diukur berdasarkan kemajuan dalam bidang teknologi maklumat. Pendidikan maya dianggap sebagai satu bentuk kemajuan sebuah negara. Negara maju menjadi daya tarikan pelabur asing untuk melabur di negara kita. Syarikat-syarikat terkenal gergasi komputer akan tertarik untuk melabur di Malaysia jika pembangunan teknologi maklumat berkembang pesat. Universiti-universiti ternama antarabangsa turut berminat untuk membuka cawangan di Malaysia jika kemudahan pendidikan maya telah tersedia di negara kita.

Kesimpulannya, pendidikam maya mempunyai banyak kepentingannya. Pendidikan ini mempunyai potensi besar pada masa hadapan. Sifatnya yang terbuka memberi ruang dan peluang kepada individu untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam semua bidang. Langkah-langkah segera perlu diambil oleh kerajaan untuk memajukan sistem pendidikan maya. Kerjasama yang dibuat dengan IPTA, Universiti terbuka dan IPTS lain dikenal pasti sebagai langkah terbaik untuk merealisasikan impian tersebut . Diharapkan pada masa hadapan Malaysia akan muncul sebagai hub pendidikan bertaraf dunia. Ini sejajar dengan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) 2001 – 2010 dan Dasar Wawasan Negara (DWN) bagi menghadapi cabaran globalisasi, liberalisasi ekonomi dan persekitaran berasaskan pengetahuan.

  • Share/Save/Bookmark