Iklim sekolah memainkan peranan penting dalam sesebuah sekolah.  Iklim sekolah yang baik akan mengakibatkan guru-guru rasa selamat, yakin dan puas hati serta tidak terasa terancam untuk datang dan mengajar di sekolah.  Pengetua pula dirasakan berkeyakinan, mesra, sederhana, mudah ditemui dan bersifat terbuka serta berkebolehan memberi kepimpinan di sekolah.  Murid-murid pula mempunyai semangat setia kawan, berasa selesa untuk belajar dan hadir ke sekolah.

 

Interaksi antara elemen-elemen tersebut akan menentukan sama ada suasana iklim berada dalam keadaan baik atau sebaliknya.  Guru-guru akan berasa tidak selesa  berada di sekolah sekiranya iklim di sesebuah sekolah itu tidak baik.  Keadaan bertambah buruk jika murid-muridnya terlibat dalam perlanggaran disiplin sekolah.  Kes-kes salah laku murid juga menyumbang ke arah ketidak tenteraman iklim sesebuah sekolah.

 

Oleh itu kajian yang dijalankan boleh dijadikan asas dalam menentukan corak iklim yang baik atau sebaliknya di sesebuah sekolah.  Kajian yang dijalankan cuba mengupas dan mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi iklim sesebuah sekolah.  Di antara faktor-faktor yang di kaji adalah seperti hubungan antara guru dan murid, keadaan fizikal dan persekitaran sekolah serta sebagainya.

 

Terdapat banyak penyelidikan telah dijalankan untuk mendapatkan definisi dan konsep umum tentang iklim sekolah.  Hasil daripada itu, berbagai teori dan pendapat telah dikemukakan untuk mendefinisikan iklim, atmosfera atau apa yang dikatakan sebagai rasa umum sesebuah sekolah itu.

 

Dalam menganalisis iklim sekolah,  sama ada iklim dilihat sebagai suatu konsep fenomena yang objektif yang  boleh dikaji secara empirikal atau suatu konsep fenomena yang subjektif yang hanya timbul dari pengalaman lindividu, persoalan berikut patut difikirkan oleh pengkaji-pengkaji ( Kottkamp et. al (1987),

 

Dalam mengukur iklim melalui tanggapan individu dalam organisasi, persoalan yang timbul ialah sama ada tanggapan tersebut adalah  manifestasi tentang ciri-ciri asas (sebenar) organisasi atau hanyalah satu rujukan terhadap ciri-ciri individu dengan tanggapan peribadinya.

 

Marshal Poole (1985) telah membuat rumusan tentang apa yang sepatutnya ada dalam ciri-ciri asas iklim organisasi.  Beliau merangkumkan bahawa iklim organisasi lebih mementingkan penjelasan kepada unit-unit utama atau keseluruhan organisasi dan bukanlah penilaian tentang organisasi.  Iklim organisasi adalah terbit daripada amalan-amalan rutin  yang penting  kepada organisasi dan ahli-ahlinya.  Beliau juga menyatakan akan pengaruh iklim organisasi terhadap sikap dan kelakuan ahli-ahlinya.

 

Selain persoalan-persoalan yang patut difikirkan dalam menghuraikan tentang konsep iklim, definisi iklim terus cuba dihuraikan oleh ramai pengkaji.  Antaranya iklim di definisikan sebagai suasana dalaman sekolah (Strivens, 1985), hasil daripada tindakan kumpulan-kumpulan tertentu dalam sistem sosial organisasi (Hoy and Miskel, 1978).

 

Pengukuran iklim melalui tanggapan ahli-ahli dalam organisasi merupakan pilihan ramai penyelidik iklim organisasi.  Iklim boleh dilihat berdasarkan perasaan individu tentang interaksi di antara individu dalam organisasi (pendekatan bersifat subjektif) atau secara lebih objektif dengan melihat ciri-ciri sebuah organisasi yang stabil (James and Jones, 1974).

 

Iklim sekolah adalah juga merupakan ciri-ciri yang memberi gambaran tentang  sesebuah sekolah yang membezakannya daripada sekolah-sekolah yang lain (Sergiovani, 1971).    Iklim sebenarnya adalah nilai-nilai dan norma-norma yang terdapat dalam sistem formal dan sistem tidak formal sesebuah organisasi (Katz and Kahn, 1966).

 

Pengukuran dan pengkonsepan paling terkenal dan merupakan perintis tentang iklim organisasi telah dilakukan oleh Andrew W. Halpin dan Don B. Croft (1962).  Mereka telah menjalankan soal selidik dan membangunkan soalan kajian yang dikenali sebagai soalan Deskripsi Iklim Organisasi atau Organizational Climate Description Questionnaire (OCDQ) sebagai alat untuk mengukur keadaan yang terdapat di sekolah.  Justeru, mereka melahirkan enam dimensi iklim organisasi di antara guru-guru dan guru besar yang merupakan Deskripsi kelakuan guru-guru dan guru besar.  Dimensi tersebut ialah  kelakuan menyokong, mengarah dan membatas pengetua dan kelakuan intim, mempeduli dan bersatu (collegial) guru-guru.  Halpin dan Croft juga telah mengumpulkan sekurang-kurangnya 4 jenis iklim sekolah yang berterusan (continuum) bermula dari iklim terbuka kepada iklim tertutup.

  • Share/Save/Bookmark