img_0629_1

Penilaian prestasi merupakan perkara yang penting dalam sesuatu organisasi.  Penilaian prestasi pekerja perlu dilakukan dari semasa ke semasa.  Ini adalah untuk menentukan produktiviti dan  sumbangan pekerja kepada organisasi serta mendorong mereka meningkatkan produktiviti. Dalam sektor kerajaan, penilaian prestasi selalunya dibuat pada akhir tahun.  Ketua jabatan akan menilai prestasi kakitangan berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.  Namun demikian, ketelusan dan ketepatan penilaian seringkali dipertikaikan.

 

Setiap guru dikehendaki menyenaraikan semua tugas atau aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun.  Berdasarkan borang penilaian ini, mereka akan diukur berdasarkan senarai semak yang diberi.  Di antara perkara-perkara yang dinilai meliputi penghasilan kerja, sumbangan, personaliti dan inisiatif seseorang guru. 

 

Setiap guru akan diberi jumlah markah.  Jumlah markah inilah yang akan menentukan pencapaian dan prestasi seseorang guru itu.  Jika markah seseorang guru itu adalah tertinggi, contoh 95% berbanding guru-guru lain, maka peluang guru berkenaan untuk naik pangkat dan prestasi cemerlang adalah cerah.  Selepas jumlah penilaian prestasi diumumkan dan calon cemerlang telah disahkan pada awal setiap tahun, kita sering terdengar suara-suara halus yang menyatakan pelbagai komen dan pandangan terhadap seseorang kakitangan (guru)  itu.

 

“Eh! Lihatlah, cikgu Mat tu kaki bodek  boss.  Sebab itulah dia dapat prestasi cemerlang tahun lepas”, bisik cikgu Leman ke telinga cikgu Seman.  Begitulah suara-suara yang kita selalu kita dengar selepas nama-nama kakitangan cemerlang di umumkan. “ Aku yang kerja bagai nak rak tak dapat apa-apa, buang masa sahaja ”, kata cikgu Limah pula. 

 

Sebagai kakitangan yang bekerja di bawah jabatan yang sama mungkin mempunyai pelbagai pandangan dan komen mengenai perkara tersebut.  Apa yang hanya boleh dibuat ialah dengan mendengar  apa sahaja yang ingin mereka perkatakan.  Ada pandangan yang bersifat positif dan ada juga yang bersifat negatif.  Apa yang selalu kita dengar adalah komen yang bersifat negatif.

 

Bagi guru yang telah menerima anugerah atau prestasi cemerlang, mungkin panas telinga bila mendengar suara-suara sumbang dan negatif berkenaan diri mereka.  Mereka tidak harus mempertikaikan anugerah atau pemberian tersebut kerana ketua jabatan mempunyai hak sepenuhnya untuk memberi kepada siapa yang layak. 

 

Di sinilah silapnya.  Ketua jabatan mempunyai sifat pilih kasih terhadap orang-orang tertentu.  Mereka telah menentukan terlebih awal siapa yang mesti diberi prestasi cemerlang pada tahun berkenaan.  Siapa yang baik dan rapat dengan pengetua mesti mempunyai peluang yang cerah untuk mendapat prestasi cemerlang.

 

Ketua jabatan(pengetua) tidak harus menjadikan faktor kemanusian(siapa yang baik dengan beliau) akan di beri prestasi cemerlang.  Banyak faktor-faktor lain yang mesti di ambil kira dalam memberi prestasi cemerlang kepada seseorang itu.  Ada guru yang menunjukkan kesungguhan bekerja pada akhir tahun.  Pada awal tahun, mereka bekerja lebih kurang dan sambil lewa sahaja. 

 

Apabila penilaian ingin dibuat pada akhir atau bulan berkenaan, mereka akan menunjukan prestasi cemerlang pada bulan berkenaan sahaja.  Mereka juga menunjukkan sifat bodek terhadap ketua mereka.  Jadi bila penilaian dibuat, sudah tentunya mereka akan mendapat markah yang tinggi dan mempunyai peluang yang cerah untuk mendapat anugerah cemerlang.

 

Sebagai seorang ketua jabatan, beliau mesti sedar akan perkara tersebut.  Beliau tidak boleh menilai prestasi seseorang kakitangan berdasarkan bulan penilaian itu.  Skop mesti meliputi keseluruhan tahun.  Apakah pencapaian yang telah dibuat oleh seseorang kakitangan pada keseluruhan tahun itu? 

 

Faktor lama bekerja tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk menganugerahkan seseorang itu prestasi cemerlang.  Begitu juga dengan faktor kebaikan kakitangan dengan ketua jabatan.  Jika perkara ini berlaku, amat malang sekali.  Banyak rasa tidak puas hati akan berlaku di kalangan kakitangan atau guru yang lain.  Motivasi guru-guru lain juga turut menurun disebabkan masalah tersebut.

 

Prestasi kakitangan mesti dibuat, setelus dan setepat yang mungkin.  Penilaian sama ada boleh dibuat secara kuantitatif ataupun kualitatif.  Sifat pilih kasih mesti dijauhi.  Sistem kuota juga dianggap tidak sesuai digunakan.  Dalam penilaian prestasi sebelumnya, peratus atau kuota tertentu telah ditetapkan terlebih dahulu.

 

Sebagai contoh, peratus kakitangan cemerlang telah ditetapkan sebanyak 5%(melintang), menegak (5%), mendatar 89% dan statik sebanyak 1%.  Faktor ini dianggap tidak sesuai kerana ketua jabatan akan menentukan berdasarkan peratus untuk memberi penilaian prestasi kepada seseorang.  Jika banyak calon yang sepatutnya menerima anugerah cemerlang, kuota tersebut tidak boleh diguna pakai kerana akan memberi kesan atau kekecewaan kepada guru yang lain.

 

Mereka merasakan mereka telah bekerja dengan bersungguh-sungguh sepanjang tahun.  Oleh itu ganjaran yang sepatutnya mesti diberi oleh ketua jabatan  untuk menggalakkan mereka supaya bekerja dengan lebih rajin lagi pada tahun hadapan.

 

Jika peluang mereka disekat dan diberikan kepada orang yang tidak layak menerimanya, perkara ini akan memberi kesan yang berpanjangan kepada seseorang individu itu.  Mereka akan berfikiran dan menanam sikap endah terhadap kerja yang diberikan.

Lebih teruk lagi apabila kakitangan berpandangan bahawa sistem yang digunakan tidak boleh diguna pakai lagi dan mesti di hapuskan.  Tetapi kita harus bersyukur kerana mulai tahun 2003 sistem kuota tidak akan diguna pakai lagi. 

 

Penilaian prestasi kakitangan akan berdasarkan tahap pencapaian sebenar dan kemahiran serta pencapaian akademik seseorang.  Pegawai atau guru yang mempunyai kelulusan tertinggi, kehadiran kursus berkaitan yang boleh meningkatkan kemahiran dalam bidang mereka akan diberi keutamaan dalam penerimaan prestasi cemerlang.

 

Oleh itu, sebagai seorang ketua jabatan(pengetua) yang bertanggungjawab beliau mesti mengetahui cara yang betul untuk menilai prestasi seseorang kakitangan atau guru berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.  Faktor pilih kasih dan sebagainya harus dijauhi supaya sistem yang ada dapat digunakan sepenuhnya.  Penilaian yang dibuat oleh pengetua mestilah lebih telus dan tepat.

  • Share/Save/Bookmark