computer-chip-2

Kemajuan ICT atau teknologi maklumat dan komunikasi telah menjadi satu cabaran kepada negara dan sistem pendidikan khususnya untuk menyediakan sumber tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran ICT.  Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai peneraju ICT dalam dunia pendidikan perlu menyediakan keperluan fizikal dan bukan fizikal untuk membolehkan penggunaan ICT sebagai alat pengupaya (enabling tool) pada semua peringkat organisasi pendidikan.  Penggunaan ICT juga mampu membawa perubahan dan pembaharuan kepada sistem pendidikan ke arah memartabatkan pendidikan negara pada peringkat  antarabangsa.

 

ICT mula diperkenalkan dalam dunia pendidikan pada awal tahun 1990-an.  Sebelum itu, pendidikan berasaskan teknologi hanya menggunakan radio, televisyen dan overhead projector dalam proses membantu sesi pengajaran dan pembelajaran guru.  Rancangan Radio dan TV Pendidikan juga telah diperkenalkan pada tahun 2000 dengan menggunakan teknologi satelit supaya siaran tersebut dapat diperluaskan dan diterima oleh sekolah-sekolah luar bandar dan pendalaman.  Bagi meningkatkan penggunaan ICT, pada tahun 1992, Kementerian Pendidikan telah membekalkan sebanyak 60 buah sekolah luar bandar dengan 20 set komputer untuk pelajar dan satu set komputer untuk guru bagi setiap buah sekolah.

Pada tahun1994, KPM telah melancarkan Projek Rintis Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik di 15 buah sekolah rendah luar bandar di negeri Selangor.  Setiap sekolah dibekalkan dengan 21 set komputer dan perisian kursus pendidikan yang disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK).  Pada tahun1996 pula, penyediaan infrastruktur ICT diperluas kepada 209 buah sekolah menengah dan 20 buah sekolah rendah.  Sekolah-sekolah menengah ini dibekalkan dengan 20 set komputer dengan satu pelayan (server) untuk Persekitaran Rangkaian Setempat (LAN) tanpa kemudahan internet sementara di sekolah rendah komputer yang dibekalkan tidak dirangkaikan.  Antara tahun 1999 hingga 2000 pula, sebanyak 222 buah sekolah rendah dan 110 buah sekolah menengah di seluruh negara telah dibekalkan sebanayak 10 set komputer bagi setiap buah sekolah.

 

 

Dalam mengharungi kemajuan ICT, pihak Kementerian Pendidikan sendiri banyak menghadapi masalah atau cabarannya.  Namun begitu, cabaran-cabaran itu dianggap sebagai satu perintis kejayaan dan harus diselesaikan serta ditangani dengan bijak.  Strategi pelaksanaannya juga harus dirancang bagi melicinkan lagi usaha meningkatkan penggunaan ICT di sekolah. 

 

 

 

 

Di antara cabaran-cabaran dan strategi pelaksanaannya adalah seperti berikut,

 

Pembangunan Infrastruktur ICT

 

Sekolah yang masih tidak mempunyai bekalan elektrik menjejaskan pembekalan kemudahan ICT dalam pengurusan dan pentadbiran serta P & P.  Kebanyakan sekolah rendah hanya dibekalkan dengan elektrik satu fasa.  Untuk kegunaan makmal komputer, bekalan elektrik perlu dinaik taraf kepada tiga fasa.  Adalah menjadi cabaran kepada KPM untuk menyediakan bekalan elektrik tiga fasa kepada sekolah bagi membolehkan pelaksanaan ICT sepenuhnya.

 

Makmal komputer yang sedia ada tidak dapat menampung keperluan sebagai makmal komputer mata pelajaran elektif.  Sebuah makmal komputer hanya dapat menampung keperluan untuk lima kelas sahaja kerana setiap mata pelajaran berasaskan ICT memerlukan empat hingga lima waktu mengajar seminggu.  Adalah menjadi cabaran kepada KPM untuk menambah bilangan makmal komputer di semua sekolah menengah bagi menentukan mata pelajaran elektif ICT dapat ditawarkan.

 

Pembekalan komputer atau notebook kepada guru dan pensyarah untuk kegunaan P&P masih tidak mencukupi.  Hanya sebilangan kecil guru dan pensyarah yang memperoleh kemudahan tersebut melalui projek atau sumbangan tertentu.  Untuk meningkatkan mutu P&P, KPM akan membekalkan komputer kepada guru dengan nisbah 1 : 10 bagi tahun 2002 hingga 2003.  Nisbah ini akan meningkat kepada 1 : 5 pada tahun 2004 hingga 2005, manakala pada tahun 2006 hingga 2010, nisbah komputer berbanding guru adalah 1 : 1.

 

Walaupun perancangan telah dibuat, perkakasan komputer yang dibekalkan kepada Jabatan/Bahagian masih tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan personel KPM disebabkan kekangan peruntukan kewangan.  Di samping itu, kebanyakan komputer yang dibekalkan adalah model berkapasiti rendah dan tidak dirangkaikan kepada kemudahan internet sedangkan keperluan untuk kemudahan ini semakin meningkat atas desakan tugas, keperluan komunikasi, dan memenuhi cabaran merealisasikan e-kerajaan.  Sebagai contoh, pada masa kini, pembekalan komputer dengan nisbah 1 : 1 bagi pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Gred 3 dan ke atas) masih belum mencapai sasarannya.  Adalah menjadi cabaran kepada KPM untuk menyediakan perkakasan komputer yang terkini dan mencukupi kepada semua peringkat pengurusan KPM ke arah mengukuhkan infrastruktur ICT dalam pendidikan.

  • Share/Save/Bookmark